Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tafsir Surah An-Nisa' ayat 92
Hikmat di sebalik perundangan Islam
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa': 92)
Ertinya jangan sesiapa menunjukkan yang dia lebih mengetahui dengan cara mencari, mereka cipta dan me-laksanakan undang-undang selain undang-undang Allah SWT. Undang-undang Allah sahaja boleh mencegah berlakunya pembunuhan dan mendamaikan permusuhan keluarga.
Apabila hukuman begitu berat dilaksanakan, orang ramai berhati-hati melakukan sesuatu perkara supaya tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Manusia sukar untuk berbunuh-bunuhan walaupun mereka memiliki senjata yang boleh membunuh manusia.
Mereka berhati-hati kerana takut kepada dosa dan denda yang terlalu besar di kenakan ke atas kesalahan yang dilakukan. Denda yang dikenakan itu dibayar kepada keluarga si mati manakala keluarga itu pula berhak memaafkan si pesalah atau sebaliknya. Bererti ada ruang perdamaian diberikan syarak kepada pihak-pihak terbabit.
Bagaimanapun jika keluarga berkenaan berkehendakkan ganti rugi, si pesalah mestilah membayar diat itu dengan jumlah yang banyak dan dengan berkat dari Allah SWT sedangkan keberkatan itu tiada pada undang-undang lain.
Di samping itu, hukuman berkenaan boleh menghilangkan rasa permusuhan dan membangkitkan rasa kasih sayang di antara satu sama lain.
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan sesiapa membunuh orang yang beriman dengan sengaja maka balasannya adalah neraka jahannam serta kekal di dalamnya." (Surah an-Nisa' : 93)
Orang yang membunuh dengan sengaja dijatuhkan hukuman qisos sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu hukuman qisos dalam kes pembunuhan, orang merdeka dengan merdeka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan. Barang siapa mendapat kemaafan dari saudaranya akan sesuatu, maka hendaklah ia mengikut dengan cara yang baik dan membayarkan diat kepada saudaranya itu dengan cara yang baik.
"Demikian itu suatu keringanan dari Tuhan-Mu dan rahmat-Nya. Barangsiapa yang aniaya sesudah itu maka untuknya seksaan yang pedih." (Surah al-Baqarah: 178)
Dalam kes membunuh dengan sengaja, jika seorang pesalah itu sabit membunuh dengan ikrar dan sabit penyaksian dua orang saksi dan bukti-bukti yang jelas berlakunya pembunuhan itu, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman bunuh.
Walaupun hukuman bunuh dijatuhi, keluarga si mati mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memaafkan pembunuh itu. Selepas dimaafkan pembunuh itu dikenakan bayaran diat yang berat (mugollazoh) sebagaimana disebut hukumannya dahulu iaitulah 100 ekor unta termasuk 40 darinya unta betina yang bunting. Dinilai berapa jumlahnya jika dikira dengan wang kemudian dibayar kepada keluarga si mati.
Dalam hal ini pemerintah diberi keizinan untuk melakukan hukuman takzir (dera). Katakanlah, mengikut undang-undang Islam, si pembunuh dijatuhi hukuman bunuh kerana sabit ia melakukan kesalahan membunuh tetapi keluarga si mati memaafkannya. Walaupun keluarga si mati memaafkannya tetapi dia seorang yang bahaya.
Kerajaan boleh menjatuhi hukuman takzir kepada si pembunuh yang telah dimaafkan itu di mana hukuman itu terpulang kepada pemerintah bagaimana cara seharusnya dilaksanakan sama ada memenjarakan, menjatuhi hukuman sebat atau sebagainya.
0 comments:
Post a Comment