PENERANGAN ISU PEMBATALAN MOU DAN MUADALAH

14 June 2008
Disediakan oleh: Nur Mazni Ahmad Pauzi
(Ketua Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM
RAMAH MESRA BERSAMA KETUA EKSEKUTIF
KOLEJ ISLAM ANTARABANGSA SULTAN ISMAIL PETRA (KIAS), KELANTAN
OLEH : DR. JOHARI BIN MAT
MASA : 9 MALAM
TARIKH : 12 JUN 2008
TEMPAT : RUMAH KELANTAN BARU, HAYYU SABI', KAHERAH, MESIR
Program MOU (perjanjian kerjasama) dan program Muadalah diantara kolej agama di Malaysia dan Universiti Al-Azhar mempunyai pentakrifan yang berbeza :
MOU :
Perjanjian kerjasama diantara kolej dan universiti Al-Azhar yang mempunyai maksud hubungan ilmiah, pengambilan tenaga pengajar dari Universiti Al-Azhar dan silibus pengajiannya.
Perjanjian ini dibuat untuk tempoh masa selama lima tahun.
Muadalah :
Pengiktiraf pengajian dari Universiti Al-Azhar untuk kolej tersebut sahaja. Pengiktirafan ini perlu diperbaharui setiap tahun.
Namun ia mempunyai satu maksud yang sama iaitu kesemua pelajar bagi setiap kolej yang membuat program MOU dan program muadalah mempunyai peluang untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dalam tahun 3 atau tahun 4 mengikut terma syarat yang telah dipersetujui diperingkat kolej masing-masing.
Contoh terma syarat KIAS :
- Bagi pelajar program MOU (ijazah) sekiranya lulus peperiksaan tahdid mustawa akan berada ditahun 4 dan yang tidak lulus akan berada ditahun 3.
- Bagi pelajar program Muadalah (diploma) akan berada di tahun 3 sekiranya lulus dan tahun 2 sekiranya tidak lulus bagi kursus usuludin sahaja dan bagi kursus syariah dan dakwah sama seperti program MOU.
Sebanyak 18 kolej di Malaysia yang telah membuat program Muadalah dengan Universiti Al-Azhar. Setengah kolej memeterai perjanjian program MOU dan muadalah dengan Universiti Al-Azhar dan setengahnya lagi hanya memeterai perjanjian program Muadalah sahaja dengan Universiti Al-Azhar. Sejarah MOU dan Muadalah diantara kolej agama di Malaysia dan Universiti Al-Azhar telah bermula seawal tahun 1990 lagi. Namun kesemuanya kolej tersebut membuat perjanjian kerjasama secara berasingan dengan universiti Al-Azhar mengikut terma syarat kolej masing-masing. KIAS telah pun membuat MOU ini bermula tahun 2000 dalam program ijazah berkembar 3+1 bersama Universiti Al-Azhar dan juga program muadalah bagi pengajian Diploma.
Pada tarikh keramat 22 April 2008, satu surat yang ditandatangani oleh Canselor Universiti Al-Azhar telah membatalkan perjanjian pengajian bagi program MOU dan Muadalah bagi kolej-kolej agama di Malaysia. Tempias dari pembatalan tersebut, maka tertubuhnya satu kesatuan diantara kolej-kolej yang mempunyai program Muadalah dengan Universiti Al-Azhar yang dinamakan sebagai IQBAL (رابطة الجامعات والكليات الإسلامية). IQBAL yang diketuai oleh KUIS dan KIAS sebagai timbalan serta dianggotai oleh kolej-kolej lain.
Pada 7 Jun 2008, IQBAL telahpun sampai ke Mesir bagi membincangkan isu ini dengan pihak Universiti Al-Azhar dan perjumpaan kali pertama telahpun dibuat. Kata sepakat telah dipersetujui oleh IQBAL dengan menulis surat kepada pihak Universiti Al-Azhar. Tujuan surat tersebut bukanlah bermaksud desakan supaya menarik kembali kenyataan yang telah dikeluarkan namun memohon supaya pihak universiti Al-Azhar memikirkan kembali keputusan yang telah dibuat. Dan juga memohon supaya pelajar tahun akhir di kolej masing-masing dapat menyambung pengajian dalam program Muadalah pada tahun ini memandangkan permintaan dari pelajar dan juga persiapan yang telah dibuat. Dan satu jawapan yang agak memberangsangkan serta memberi harapan dari pihak Universiti Al-Azhar ialah mereka tidak akan menganiyai pihak ketiga iaitu pelajar.
Di antara alasan yang agak mengelirukan kenapa dibatalkan perjanjian MOU ini adalah kerana ingin menjaga kualiti graduan lepasan Universiti Al-Azhar. Dan pihak Universiti Al-Azhar telah memberikan beberapa cadangan bagi menyelesaikan masalah ini :

1- Pihak kolej perlu menyediakan satu tapak universiti bagi cawangan Uni. Al-Azhar di Malaysia dan Al-Azhar akan mengeluarkan sijil bagi graduan universiti tersebut.

2- Struktur organisasi perlu mengikut sistem Uni. Al-Azhar. Canselor bagi universiti tersebut mestilah dari kalangan Uni. Al-Azhar sendiri. Dan bilangan pegawai dari Uni. Al-Azhar mengikut bilangan pelajar iaitu dinisbahkan seorang pegawai mewakili seratus orang pelajar dan nisbah tersebut akan terus bertambah.

3- Pihak kolej perlu menyediakan gaji kepada kakiktangan Al-Azhar yang bekerja mengikut taraf gaji yang akan ditentukan oleh Al-Azhar dan ia bukanlah dibawah pengurusan Al-Azhar.

4- Pensyarah yang layak mengajar didalam setiap subjek mestilah mempunyai kelayakan PHD dalam bidang masing-masing. Terbuka kepada pemegang PHD dari mana-mana universiti dan ia tidak tertakluk kepada PHD lepasan Al-Azhar sahaja
Sebelum tarikh surat pembatalan MOU dikeluarkan, Kompleks Yayasan As-Sofa di Negeri Sembilan telah membuat satu majlis pecah tanah bagi cawangan Universiti Al-Azhar di Malaysia pada 12 April 2008 bagi melaksanakan syarat-syarat yang telah diberikan oleh Universiti Al-Azhar. Satu usahasama baik yang terancang.
Satu plan tindakan telah dirangka oleh IQBAL bagi menjamin kedudukan pelajar tahun akhir di kolej masing-masing :
1) Malaysia : menyenaraikan nama-nama kolej yang membenarkan pelajar kolej menyambung pengajian mereka di peringkat ijazah di dalam negara.
2) Mesir :Akan menandatangani MOU dengan Jamiah Kaherah iaitu Universiti Darul Ulum.
(sedikit maklumat tentang Universiti Darul Ulum : salah satu cawangan Universiti Terbuka Amerika bagi bahagian Pengajian Islam dan Bahasa Arab)
3) Morocco : akan menandatangani MOU di empat buah universiti yang bersedia menerima pelajar muadalah dan akan terus ditempatkan ke tahun empat.
4) Jordan : akan menandatangani MOU program berkembar 2+2 dengan Universiti Al-Hasyimiah bagi program pengajian Diploma Bahasa Arab sahaja.
5) Jordan : akan membuat MOU dengan beberapa universiti lain bagi program pengajian Syariah dan Usuludin.
6) Syria : akan membuat MOU dengan sebuah universiti disana. Namun pengambilan adalah terhad kepada 10 orang sahaja bagi satu sessi kemasukan.
7) Indonesia : telah pun membuat MOU dengan Institut Agama Islam Negeri Sultan Thoha di Jambi.
8) Indonesia : akan membuat MOU dengan universiti di Acheh dan Medan bagi menyambung pengajian disana selama satu tahun atau setahun setengah.
9) pihak IQBAL hanya akan menandatangani MOU dengan Institut Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sahaja
Kronologi penyekatan hak pengajian agama di Universiti Al-Azhar
Sejak dahulu lagi, pelajar Malaysia dibenarkan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar tanpa sebarang biasiswa ataupun pinjaman dari pihak kerajaan. Mereka hanya mendapat zakat yang diberikan atas ihsan majlis agama negeri masing-masing ataupun daripada individu tertentu dan yang pastinya perbelanjaan dari ibu ayah sepenuhnya. Bagi pelajar yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar lepasan pengajian Pondok agama dan pelajar daripada mana-mana kolej yang membuat perjanjian MOU dan Muadalah, layak untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Namun bermula tahun 2001, Sijil Tinggi Agama Malaysia mula diperkenalkan dan menjadi syarat wajib bagi mereka yang ingin menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Ini menyebabkan mereka yang mengambil Sijil Tinggi Agama (STA) atau Sijil Tinggi Ugama (STU) tidak layak mendapat tempat di Universiti Al-Azhar. Seterusnya pada sessi kemasukan 2005/2006, sistem peperiksaan tahdid mustawa mula diperkenalkan bagi pelajar muadalah bagi menentukan mereka berada di tahun empat atau tahun 2, sedangkan sebelum ini mana-mana pelajar muadalah akan terus berada di tahun 4. Pada tahun yang sama juga pelajar dari pengajian Pondok tidak dibenarkan datang secara terus ke sini diatas alasan tiada SPM, STAM ataupun Diploma dari mana-mana kolej yang diiktiraf oleh LAN. Dan akhirnya pada tahun 2008, satu sejarah telah terlakar apabila, perjanjian MOU dan Muadalah dibatalkan. Dan kedengaran ura-ura yang terbaru bahawa pelajar STAM yang mendapat keputusan mumtaz dan jayyid jiddan sahaja yang layak menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Semakin sempit peluang pelajar Malaysia yang berkeinginan untuk menimba ilmu agama di gedung para ulamak yang tersohor didunia ini…adakah ia angkara tangan-tangan ghaib, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

0 comments:

Pages

Follow Us

pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya
v>

Laman Web IPTA Dan IPTS Di Malaysia

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket