MARI JALAN -JALAN

28 April 2008

Visit Terengganu 2008:
Seni budaya warisan negeri


ULIK Mayang tarian yang menjadi identiti Terengganu.

Tarian Rodat, Ulik Mayang serta kehalusan songket tenun dan batik warnai keindahan Terengganu

RODAT adalah seni persembahan tarian dan nyanyian warisan Terengganu. Seni persembahan unik ini hanya ada di negeri itu yang sering dipersembahkan secara terbuka untuk majlis keraian atau pesta khususnya di luar bandar.

Persembahannya membabitkan penari lelaki atau dikenali sebagai pelenggok, pemukul gendang atau tar (pengadi) dan penari wanita (mak inang) yang menampilkan empat gabungan posisi gerakan badan iaitu berdiri-berlutut-duduk-berpusing, diiringi dengan rentak dan alunan muzik dihasilkan gendang tar atau kompang temborin.


Rodat dipercayai berasal daripada singkatan `Hadrat Baghdad' yang menjadi sebahagian bentuk seni persembahan hadrah atau berzanji. Ia adalah tradisi dan budaya Islam yang berasal dari Timur Tengah.

Pengarah Akademi Seni Terengganu (Aseni), Mohd Noor Yusof, berkata rodat dibawa masuk ke Tanah Melayu pada 1900 melalui Pulau Sambas di Indonesia.

Buletin Warisan terbitan Mac 1979 mencatatkan pedagang dari Sambas dan Pontianak datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas tenunan dengan perahu besar pada awal abad ke-19.



Pada sebelah malam anak kapal Sambas berkumpul sambil memukul rebana kecil dan menyanyi serta menari hingga larut malam. Dipercayai kampung yang mula-mula menerima seni rodat di Terengganu adalah Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu.

Namun seni persembahan yang popular suatu ketika dulu kini semakin dilupai apabila hanya lima kumpulan terdiri daripada warga emas yang masih membuat persembahan di Terengganu.

Bagi memartabatkan rodat, Aseni yang menyambut ulang tahun pertama pada 1 Ogos lalu berusaha mengangkat semula seni itu sebagai seni persembahan milik rakyat Terengganu dengan melatih anak muda menjiwainya supaya tidak luput ditelan zaman.

Selain rodat, seni persembahan lain seperti nyanyian lagu rakyat, Ulek Mayang, gamelan, wayang kulit, teater dan tari turut mewarnai seni tradisional warisan bumi Terengganu.

Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu.

Kini Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan dengan unsur khurafat dalam bacaan mentera, malah persembahan itu hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.

Koreografer Badan Kesenian Muzium Terengganu, Mohd Nazri Ismail, berkata olahan termasuk gerak tari dan susunan muzik dilakukan bagi memberi nafas baru selaras dengan perkembangan zaman dan penerimaan masyarakat ketika ini.

Ulek Mayang sering dipersembahkan pada majlis penutup program promosi termasuk di luar negara antaranya Jerman, Brunei, Singapura dan Indonesia.

"Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati orang yang kena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.

"Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mentera.

"Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk unsur khurafat dihapuskan," katanya.

Selain kaya dengan kebudayan unik, Terengganu juga sinonim dengan penghasilan kraf seperti songket dan batik.

Antara pengusaha songket yang mendapat tempat di hati peminat dari dalam dan luar negara ialah pemilik Terengganu Songket, Zainab @ Ngah Mamat, 65 yang beroperasi di rumahnya di Kampung Bukit Depu, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Tokoh Kraf Negara 2002 itu mewarisi bakat membuat songket daripada arwah nenek dan ibunya serta mampu menghasilkan songket seawal usia 12 tahun.

Zainab yang mempunyai 50 pekerja sambilan dan enam pekerja tetap gemar menghasilkan songket bermotifkan alam semula jadi seperti bunga, tumbuhan dan buah-buahan. Songket yang dijual berharga antara RM35 dan RM15,000 yang mempunyai tiga ukuran lebar iaitu dua meter, 2.25 meter dan 2.5 meter, manakala labuh sama ada 30 inci, 37 inci dan 42 inci.

Harga sehelai songket bergantung pada jenis benang sama ada kapas atau sutera, corak, bunga dan tempoh masa menghasilkannya. Contoh songket berharga RM15,000 yang ditempah pemimpin negara memerlukan masa tujuh bulan untuk disiapkan.

Katanya, songket berharga RM500 dan ke bawah menjadi pilihan pembeli, manakala orang kenamaan yang mementingkan kualiti tidak berkira untuk memilih songket bernilai ribuan ringgit.

Batik juga mengalami perkembangan mengikut peredaran zaman dan cita rasa pemakainya. Jika dulu batik hanya terhad pada batik yang dicop atau dilukis tangan atas kain fuji atau kapas, namun sejak 1992, batik mengalami perubahan apabila kain sutera dari China menambah fabrik sedia ada.

Pengarah Imbasan Damai Batik Sdn Bhd, Fauziah Yahya, 50, mengakui batik memerlukan sentuhan kreatif bagi menghasilkan corak eksklusif dan terbaru yang membuatkannya sentiasa hidup atau 'evergreen' walaupun berusia lebih 10 tahun.

Antara teknik yang digunakan dalam penghasilan batik adalah teknik lilin dan 'brush'. Kain sutera yang dibawa masuk dan menjadi fabrik utama dalam menghasilkan batik mempunyai beberapa jenis iaitu sutera jacquard, creepe, rayon, sifon dan habotai.

Finalis Piala Seri Iman yang akan berlangsung bulan ini (November) mengusahakan industri batik dan songket warisan keluarga suaminya, Sukri Abdullah, 56, di Losong, Kuala Terengganu.

"Batik sentiasa mendapat permintaan dan langkah kerajaan menggalakkan pemakaian batik di kalangan kakitangan kerajaan pada hari tertentu serta majlis rasmi menjadikan industri batik terus berkembang mewarnai seni warisan Terengganu," katanya.

Terengganu juga kaya dengan seni kraftangan anyaman berasaskan rotan, buluh dan daun mengkuang.

Pelancong dari Kuala Lumpur yang memilih laluan darat untuk tiba ke Terengganu khususnya bandar Kuala Terengganu akan dapat menyaksikan deretan gerai yang menjual produk itu di beberapa lokasi di Marang.

Malah jika terlepas, pengunjung masih berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu yang menjadi syurga kepada peminat barangan kraf.

Lebih tepat lagi, Terengganu menjadi destinasi 'macam-macam ada' bagi memenuhi selera pengunjung.

Oleh :Nazura Ngah

0 comments:

Pages

Follow Us

pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya
v>

Laman Web IPTA Dan IPTS Di Malaysia

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket