ABU DHABI

10 May 2008

Binaan terindah abad ini

Kubah utamanya adalah yang terbesar di dunia berukuran 75m tinggi dan 32.2m garis pusat serta keluasan masjid ini mampu memuatkan 40,000 jemaah dalam satu masa.


MASJID ini dibina di atas puncak bukit supaya ia boleh dilihat dari jauh.


ABU DHABI sememangnya terkenal sebagai salah satu pusat pelancongan yang menyediakan pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi.

Justeru tidak hairanlah salah sebuah negeri di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu saban tahun sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia.

Jika berpeluang melancong ke sana, pastikan anda tidak ketinggalan untuk melawat Masjid Sheikh Zayed yang telah dinobatkan sebagai masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.


DIBINA 100 peratus menggunakan batu marmar yang diimport khas dari Itali.


Keindahan yang dipamerkan menerusi seni bina agung terbaru itu turut dilengkapi dengan permaidani Parsi yang dikatakan paling besar di dunia sekali gus mampu mencetuskan rasa kagum kepada mereka yang melihatnya.

Masjid ini dibuka secara rasmi pada bulan Ramadan tahun lalu. Ia dinamakan sempena nama presiden pertama UAE, Sheikh Zayed bin Sultan Al-Nahyan yang juga merupakan pengasas pembinaan masjid ini.


MASJID ini dibina di atas puncak bukit supaya ia boleh dilihat dari jauh.


Projek pembinaan Masjid Sheikh Zayed yang lokasinya terletak di antara dua buah jambatan, Mussafah dan Maqta ini mula dilancarkan pada tahun 1998 dan ia dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini.

Sheikh Zayed yang meninggal dunia pada 2 November 2004, kemudian disemadikan di perkarangan masjid itu sebagai penghargaan kepadanya kerana mengasaskan projek tersebut.


BERIBU-RIBU batu berharga yang jarang diperoleh telah ditanam di celah-celah marmar yang digunakan untuk menghiasi struktur masjid berkenaan.



RUANG mimbar yang menunjukkan arah kiblat.


Berbanding Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang melarang kunjungan orang bukan Islam, Majlis Pelancongan Abu Dhabi mengumumkan bahawa Masjid Sheikh Zayed membuka pintu kepada orang bukan Islam.

Menurut mereka, keputusan itu dibuat sebagai usaha untuk mempromosikan pemahaman terhadap budaya dan agama Islam yang mulia ini, selain menepis pandangan negatif yang sering dikaitkan dengan Islam.

Bagaimanapun, larangan tertentu tetap dikuatkuasakan kepada pelawat bukan Islam sebagai menghormati adab ketika berada di dalam masjid.


TERDAPAT tujuh buah candelier kristal besar turut menghiasi dewan utama masjid.


Kaum wanita bukan Islam dikehendaki menutup diri mereka dari hujung kepala hingga ke hujung kaki dengan memakai 'abaya' (baju khas) yang disediakan di pintu masuk masjid.

Selain itu, orang bukan Islam juga tidak dibenarkan menyentuh kitab suci al-Quran yang terdapat di dalam masjid.

Bermula Disember tahun lalu, Masjid Sheikh Zayed secara rasminya mula menerima kunjungan ramai pelawat bukan Islam yang begitu berminat dan teruja melihat keindahan yang terdapat pada masjid ini.


JIKA berpeluang melawat Abu Dhabi, singgahlah ke Masjid Sheikh Zayed yang telah dinobatkan sebagai masjid ketiga terbesar di dunia.


"Selain beribu-ribu penganut agama Islam yang datang bersolat, masjid ini juga dikunjungi penganut bukan Islam dari pelbagai negara seperti Jerman, Perancis, Britain, Amerika Syarikat, Argentina dan India.

"Mereka begitu kagum melihat kehalusan seni bina yang terdapat di masjid ini sambil tangan mereka tidak henti-henti merakam gambar menerusi kamera yang dibawa," kata salah seorang pemandu pelancong.


MASJID ini mempunyai menara yang setiap satunya setinggi 107 meter.


Bagi pemerintah Abu Dhabi, mereka berusaha untuk menjadikan masjid itu sebagai salah satu lagi daya tarikan pelancong selain keindahan pantai dan pusat membeli-belah.

Menurut juruteranya, Mohammad Ali Al-Ameri, bagi memenuhi permintaan Sheikh Zayed, masjid itu telah dibina di atas bukit supaya ia boleh dilihat dari jauh dalam kawasan seluas 22,000 kaki persegi. Masjid ini boleh memuatkan 40,000 jemaah dalam satu masa.




Ujarnya, pembinaan masjid itu sudah hampir 90 peratus siap keseluruhannya. Namun hanya pagar, taman dan tempat meletak kereta yang masih belum siap.

Dibina 100 peratus menggunakan batu marmar yang diimport khas dari Itali, masjid ini mempunyai menara yang setiap satunya setinggi 107 meter, 82 buah kubah, 96 dewan di dalam dan 1,048 di luar.

"Untuk membina masjid ini, sebanyak 30,000 pekerja diperlukan di mana hampir semuanya dari benua kecil Asia. Tukang ukirnya pula didatangkan khas dari Maghribi," kata Mohammad.

Selain itu, beribu-ribu batu berharga yang jarang diperoleh telah ditanam di celah-celah marmar yang digunakan untuk menghiasi struktur masjid berkenaan.

Lebih menarik lagi, dewan utama masjid itu menggunakan permaidani buatan tangan dari Parsi yang berukuran 6,000 meter sekali gus merupakan permaidani terbesar di dunia pernah dihasilkan. Ia merupakan rekaan pereka terkenal Iran, Ali Khaliqi.

"Untuk menghasilkan permaidani yang harganya mencecah RM27.6 juta itu, lebih 1,200 wanita dari wilayah Khorasan di timur Iran bertungkus-lumus menyiapkannya dalam masa dua tahun," tambah Mohammad lagi.

Dewan utama masjid itu pula boleh memuatkan 9,000 jemaah manakala dua buah bilik di sebelah dewan utama mampu memuatkan 1,500 jemaah setiap satu. Ia disediakan khas untuk jemaah wanita. Mereka boleh mendengar khutbah atau ceramah menerusi skrin televisyen besar yang terdapat di dalamnya.

Menurut Mohammad lagi, kubah utama masjid itu adalah yang terbesar di dunia. Ia berukuran 75m tinggi dan 32.2m garis pusat. Di samping itu, terdapat tujuh buah candelier kristal besar turut menghiasi dewan utama masjid.

Lampu rekaan mewah terbesar di dunia yang dibuat di Jerman itu, berukuran 15m tinggi dan 10m lebar manakala kosnya pula melebihi RM26 juta.

Sebelum ini, kedua-dua rekod permaidani dan candelier terbesar dipegang oleh Masjid Agung Sultan Qaboos di Oman.

Kos keseluruhan untuk pembinaan masjid ini dianggarkan bernilai RM1.75 bilion, satu jumlah yang amat besar bagi sesuatu projek. Justeru, tidak hairanlah jika masjid ini mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancong di seluruh dunia untuk melawatnya. - sumber kosmo

1 comments:

  1. wmf said...:

    http://wanmohdfadzil.blogspot.com

Pages

Follow Us

pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya
v>

Laman Web IPTA Dan IPTS Di Malaysia

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket