MARI JALAN-JALAN

28 April 2008

Doha hidup waktu malam


SUASANA petang di pasar tradisi Souq al-Waqif.

Penduduk Qatar suka melepak di rumah pada waktu siang kerana cuaca panas

KIRA-KIRA jam 5 pagi ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Doha, Qatar menaiki pesawat Qatar Airways QR621, seorang pramugari mengejutkan penumpang yang tidur bersebelahan tingkap supaya menutup tingkap.

Langkah itu diambil kerana ketika itu berlaku perubahan cuaca malam ke siang, yang memungkinkan mata akan mengalami silau melampau akibat pancaran matahari.


Penulis sempat menjenguk keluar dan menyaksikan perubahan itu yang cukup menarik. Betapa besarnya kuasa Allah apabila kelihatan tiga lapisan langit iaitu hitam, jingga dan yang paling atas ialah putih.

Tidak pernah bermimpi akan melihat keindahan alam seperti itu. Apatah lagi ketika sedang duduk bersantai di kerusi empuk 'Business Class' disediakan Qatar Airways, sudah tentu perjalanan selama lapan jam tidak begitu terasa.

Perjalanan bermula jam 3.30 pagi waktu tempatan dan kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha jam 6.25 pagi (11.30 waktu Malaysia). Rombongan media Malaysia yang dibawa khas oleh Qatar Airways untuk memperkenalkan Doha sebagai destinasi pelancongan disambut Pegawai Kanan Perhubungan Media Bahagian Timur dan Australasia, Edward Cameron.

PENDUDUK Doha gemar bersantai pada waktu malam sambil menghisap shisha.

Kami dibawa ke tempat penginapan di Hotel Movenpick Tower & Suites bertaraf lima bintang. Sepanjang perjalanan ke hotel, kami dapat menyaksikan begitu banyak bangunan mencakar langit sedang dibina.

Melancong ke Doha tidak lengkap jika tidak melawat pasar atau bazaar yang digelar Souq al-Waqif yang melambangkan budaya tradisi Qatar.

Pasar itu menjual pelbagai jenis cenderahati, pakaian, aksesori untuk unta serta makanan Arab seperti segala macam rempah dan manisan. Pada sebelah malam, pasar itu akan dipenuhi penduduk tempatan dan pelancong yang melepak sambil menonton televisyen di skrin besar dan bersantai menghisap 'Shisha'.

Kami jarang bertemu dengan penduduk tempatan Qatar di sebelah siang dan pemandu pelancong kami mengatakan kira-kira 80 peratus daripada hampir sejuta penduduk Qatar ialah orang asing dan kebanyakan penduduk tempatan jarang keluar pada waktu pagi kerana cuaca panas.

BAGI yang gemarkan cabaran lasak, mereka boleh merasainya di Safari Khor Al Udeid.

Mereka lebih selesa melepak di rumah dan memilih untuk keluar bersama keluarga pada petang hingga malam. Bahkan, di sepanjang jalan di sekitar taman bunga di situ, kelihatan penduduk sedang berkumpul, berkelah bersama keluarga dan kanak-kanak berkejaran di taman permainan.

Kelihatan begitu menarik menjadi penduduk Qatar. Negara pengeluar minyak dan gas ketiga terbesar dunia itu mampu memberikan kemudahan mencukupi untuk rakyatnya, telefon, air dan pendidikan percuma, bahkan jika ingin berkahwin, mereka mendapat hadiah sebidang tanah serta kemudahan pinjaman perumahan.

Bagaimanapun, keistimewaan itu akan hilang jika mereka berkahwin dengan bangsa asing. Ia bertujuan mengekalkan tradisi Qatar serta mengembangkan warisan mereka di kalangan bangsa sendiri.

Bagi peminat sukan lasak, mereka boleh mencubanya di Safari atau Khor Al Udeid di bahagian selatan - Timur Semenanjung Qatar. Ia terletak kira-kira 78 kilometer dari bandaraya Doha.

Kami sendiri berpeluang merasai cabaran meredah gurun, gunung pasir menaiki kenderaan pacuan empat roda. Detik melalui beting pasir yang sama saiz dengan kenderaan kami berserta rintangan angin bercampur pasir memang mendebarkan, lebih-lebih lagi ketika menuruni cerun bukit pasir.

Bagaimana ke sana?

  • Menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Doha menggunakan penerbangan Qatar Airways.

  • Maklumat lanjut, layar laman web www.qatarairways.com

    Fakta

    Doha


  • Mempunyai kepadatan penduduk 415,051 orang

  • Digelar bandar pendidikan kerana banyak menjalankan kajian dan penyelidikan.

  • Stesen televisyen satelit Al-Jazeera adalah antara kebanggaan rakyat Qatar.

  • Mempunyai majoriti penduduk yang kebanyakannya datang dari negara Afrika Selatan dan negara Arab serta Asia Timur, Asia Tenggara yang bekerja di sektor perhotelan, pembinaan dan perniagaan.

  • Doha akan mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang baru menjelang 2019.

  • Ruang galeri Al-Jazeera menempatkan sejarah penubuhan serta wartawan mereka yang terkorban ketika perang Iraq dan yang ditahan di penjara Abu Ghaib.

  • 35 hotel baru dijangka siap dibina menjelang hujung tahun ini hingga awal tahun depan.

  • Doha sedang mempersiapkan diri untuk melobi sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016.

  • SUMBER :

    Oleh Mohd Azis Ngah
    azis@bharian.com.my

    0 comments:

    Pages

    Follow Us

    pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya
    v>

    Laman Web IPTA Dan IPTS Di Malaysia

    Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket