Peribahasa Melayu lama sebut otak udang untuk menggambarkan kebodohan seorang atau cara berfikirnya. Ada peribahasa baharu semenjak dua menjak ni iaitu otak sotong. Mungkin Kamus Dewan boleh membuat tafsirannya iaitu seorang yang sentiasa tepat meramalkan sesuatu. Nama Paul tiba-tiba muncul dalam arena bolasepak dunia. Entah bila si sotong kurita ini minat dengan bola. Manusia yang diberi akal menjadi lebih bodoh dari seekor sotong tidak berakal. Para jurugambar berebut-rebut merakamkan si sotong Paul memilih pasukan favouritenya.
Kalau hanya bodoh boleh tahan lagi. Yang tak boleh tahan dan membahayakan aqidah ialah apabila ada orang Islam yang terpengaruh dengan kebodohan dan syirik ala World Cup ini.
Bukan sahaja sotong, burung merpati di Singapura dan para dukun di benua Amerika Selatan turut meramalkan samada Sepanyol atau Belanda yang akan menjadi johan Piala Dunia.
Di zaman jahiliah dahulu, mereka yang berada dalam jahiliah sesat menggunakan azlam iaitu menggunakan anak panah meramalkan keadaan sesuatu. Begitu juga menisbahkan berlakunya sesuatu kepada bintang si anu si anu.
Seorang pembaca berita tv Melayu Muslim menyebut ‘…Sotong Paul yang bijak meramalkan..’ Beliau mungkin hanya membaca skrip. Ia mungkin bermaksud mahu meraikan sama kemeriahan Piala Dunia yang sedang menuju kepada klimaksnya. Tetapi hati-hati dengan skrip yang silap-silap langkah boleh membawa kepada syirik.
Demikian juga ketika seorang pengulas bolasepak Piala Dunia mengulas dalam satu perlawanan ‘…suratan atau kebetulan’ ketika satu insiden berlaku berkait dengan gol atau tidak gol (?) Ia mungkin spontan tanpa menyedari apa yang disebut bercanggah dengan akidah.
Perkara-perkara ini kelihatan kecil pada sesetengah orang tapi ia besar di sisi Allah. Bagi bukan Islam, mereka mungkin mengiktikadkan perkara di atas tapi bagi muslim, hati-hati ya.
(kuliah batal 2 kalimah syahadah-ulasan tentang Paul no. 12)
Artikel ‘kononnya’ 10 perkara menarik tentang Paul:
DIA sudah menjadi seekor daripada bintang kejohanan dan memalukan pengulas TV disebabkan ramalannya yang tepat mengenai keputusan Piala Dunia. Di sini 10 perkara yang anda mungkin belum tahu mengenai Paul, seekor sotong peramal keputusan perlawanan.
1. Dia berasal dari Weymouth
Walaupun dia kini berada di Aquarium Sea Life Centre di Oberhausen, Jerman, Paul sebenarnya dilahirkan di Weymouth, England dan berpindah daripada Sea Life Park pekan itu pada 2006.
Fiona Smith, dari Weymouth Sea Life Park, memberitahu Dorset Echo: “Dia tidak pernah membuat sebarang ramalan ketika dia tinggal di sini tapi mungkin dia menanti acara besar seperti Piala Dunia barulah dia mendedahkan kebolehannya.”
2. Dia amat dikehendaki
Chef Argentina, Nicolas Bedorrou terlalu marah selepas Paul meramalkan dengan tepat bahawa pasukannya akan kalah pertemuan suku akhir dengan Jerman lantas dia mencadangkan satu cara untuk memasak sotong itu. Dia mencatat dalam laman web sosial Facebook: “Kami akan mengejarnya dan meletakkannya dalam kertas. Kami kemudian akan memukulnya untuk mendapatkan daging lembutnya dan kemudian merebusnya dalam air mendidih.”
3. Dia mendapat liputan meluas
Ramalan Paul meraih terlalu banyak populariti hinggakan saluran berita Jerman, NTV mula menyiarkan ramalannya secara langsung, dengan dua wartawan berada di sebelah tangkinya jadi mereka boleh memberikan perkembangan terkini kepada penonton.
4. Dia menjadi selebriti di Oberhausen
Sesudah mengejutkan dunia media dengan ramalannya, Paul berjaya meletakkan bandar raya kurang dikenali Jerman, Oberhausen di peta dunia. Oberhausen, bandar raya berkembar dengan Middlesbrough, juga dikenali mempunyai pusat membeli-belah terbesar di Jerman.
5. Dia memiliki rekod yang bagus
Paul mula meramalkan keputusan Jerman ketika kejohanan Euro 2008, secara tepat memilih pemenang dalam empat daripada enam perlawanan membabitkan Jerman. Dia meramalkan Jerman untuk menang setiap perlawanan tetapi silap apabila mereka kalah kepada Croatia dan perlawanan akhir di tangan Sepanyol. Setakat ini pada Piala Dunia 2010, Paul meramalkan dengan betul pemenang kelima-lima perlawanan Jerman.
6. Dia membantu anda membawa pulang sedikit wang
Selepas meramalkan dengan tepat pemenang lima perlawanan Jerman pada Piala Dunia, menuruti tip yang diberikan Paul membolehkan anda membuat sedikit wang.
Seorang yang mempertaruhkan £1 (RM4.80) terhadap semua lima keputusan itu boleh mendapat sekurang-kurangnya £131 (RM640).
7. Dia seekor haiwan bijak
Sotong memang terkenal sebagai haiwan bijak dan terbukti memiliki kekuatan memori jangka pendek mahupun jangka panjang.
Fiona Smith, ketua penjagaan haiwan Sea Life Park berkata: “Sotong biasa seperti Paul amat bijak. Kami samakan kebijaksanaan mereka dengan anjing dan mereka suka menyelesaikan masalah atau mengira sesuatu.”
8. Dia sensasi Twitter dan Facebook
Paul menjadi fenomena utama internet sejak akhir-akhir ini dan kini adalah satu daripada topik utama perbualan dalam laman web. Frasa “Paul the Octopus” dan “Pulpo”, perkataan Sepanyol bagi sotong, kini berada dalam kelompok 10 teratas di laman web sosial Twitter.
9. Dia tidak menipu
Paul meramalkan keputusan dengan membuka satu daripada dua plastik kontena makanan yang dilitupi dengan bendera dalam tangkinya. Tanja Munzig dari Sea Life Centre di Oberhausen menafikan dakwaan bahawa kontena itu sudah diberikan kepadanya lebih awal.
“Tidak ada tipu helah, makanan itu sama dan setiap benda dalam dua kontena itu sama kecuali bendera.”
10. Dia tidak takutkan ancaman bunuh
Menurut penjaganya, Oliver Walenciak, Paul tidak bimbang dengan beberapa siri ancaman bunuh dihantar oleh penyokong Argentina yang menyalahkan sotong itu kerana kekalahan pasukan mereka pada Piala Dunia.
Dia berkata: “Memang ramai orang yang mahu makan sotong kami tapi dia tidak malu dan kami berada di sini untuk menjaganya. Dia akan bertahan.”
0 comments:
Post a Comment